Friday, 6 June 2014

murtad, kedudukan riddah dalam undang2 jenayah islam & isu yang berkaitan dengannya



1.0       PENDAHULUAN
 Akhir-akhir ini murtad menjadi satu isu hangat diperkatakan oleh masyarakat Islam di mana-mana sahaja, di dalam perbualan harian, di dalam akhbar-akhbar, majalah-majalah dan disebut juga didalam ceramah-ceramah. Selain itu, mungkin ramai umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa sebenarnya murtad sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila seseorang itu keluar dari agama Islam dan menganut agama lain. Persoalan murtad ini memang harus mendapat perhatian yang lebih daripada para ulama, pemimpin dan tokoh cendiakawanmuslim di mana pun mereka berada. Sepatutnya, mereka harus mengambil langkah-langkah yang cepat dan tepat untuk membendung tipu muslihat yang dilancarkan oleh pihak-pihak yang tidak senang dengan perkembangan Islam. Tipu muslihat mereka telah dilancarkan dari segala arah, dari dunia Barat mahupun Timur. Mereka dengan sengaja dan segala macam usaha memujuk umat Islam agar menarik diri dari agamanya serta mempengaruhi dengan cara-cara yang dilancarkan kepada umat Islam agar berpaling dan berpindah ke agama mereka. Setidak-tidaknya harapan mereka adalah kaum muslimin tidak mahu mengerjakan ajaran-ajaran Islam yang suci lagi murni. Pelbagai jalan mereka tempuh, pelbagai peluang dan sarana mereka manfaatkan misalnya melalui pendidikan, pelayanan kesihatan, amal-amal kemanusiaan, organisasi sosial dan lain-lain lagi. Bahkan tidak segan-segan para pembenci agama Islam rela mengeluarkan dana seberapa pun besrnya untuk program pemurtadan umat Islam ini.

2.0       DEFINISI MURTAD

Perkataan murtad berasal dari Bahasa Arab iaitu riddah atau irtidad. Dari sudut bahasa adalah menolak, berpaling atau mengembalikan.[1] Adapun perkataan irtidad membawa pengertian yang lebih luas iaitu mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai Islam atau meninggalkan Islam untuk mempercayai agama lain.
            Erti kalimah-kalimah tersebut selaras dengan erti beberapa ayat al-Quran. Misalnya murtad dalam erti menolak dan ditolak, terdapat dalam firman Allah ini :
وَلَا يُرَدُّ بَأۡسُنَا عَنِ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡمُجۡرِمِينَ
Maksudnya : “Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.”
                                                                                                           (Surah Yusuf 12 : 110)
Murtad dalam makna kembali-dikembalikan, terdapat dalam ayat 28 surah al-An’am :
وَلَوۡ رُدُّواْ لَعَادُواْ لِمَا نُهُواْ عَنۡهُ وَإِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ ٢٨
Maksunya : “dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.”
Contoh murtad yang ertinya paling-berpaling yang selaras dengan firman-Nya:
إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَٰرِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡهُدَى ٱلشَّيۡطَٰنُ سَوَّلَ لَهُمۡ وَأَمۡلَىٰ لَهُمۡ ٢٥
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dikemukakan kepadanya), Syaitanlah yang memperdayakan mereka (berlaku demikian), serta memanjangkan angan-angan mereka.”
                                                                                                    (Surah Muhammad 47 : 25)
            Berdasarkan huraian di atas, erti murtad dalam ayat-ayat tersebut memiliki arti menolak yakni menolak kebenaran, berpalin bermaksud berpaling dari agama Allah dan makna kembali bermaksud kembalinya kepada kekufuran.
Manakala dari segi istilah ia bermaksud meninggalkan atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana akidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng samaada dengan melalui perkataan, perbuatan atau apa-apa iktikad, kepercayaan dan keyakinan hati. Perlu ditekankan di sini bahawa kata murtad murtad hanya berlaku bagi seorang muslim yang keluar dari agama Islam, bukan orang kafir yang keluar dari agamanya kemudian masuk ke agama kafir lainnya.[2] Mereka itu sama sahaja dan tetap disebut kafir. Islam tidak ada urusan dengan mereka. Firma Allah Ta’ala :

لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦
Maksudnya : “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”
                                                                                                     (Surah al-Kafirun 109 : 6)

2.1       Kedudukannya Dalam Undang-undang Jenayah Islam
Riddah adalah salah satu daripada enam kesalahan hudud yang disepakati ulama. Hudud dari segi bahasa bermaksud sempadan, had, halangan atau sekatan. Dari sudut istilah pula bermaksud hukuman yang tidak boleh dipinda yang ditetapkan oleh Allah dalam Al-Quran dan Sunnah. Hudud dianggap sebagai hak Allah, dan hukumannya tidak boleh diubah, dipinda, ditambah atau dikurangkan oleh badan perundangan, pemerintah atau hakim. Terdapat enam kesalahan hudud yang disepakati oleh semua ulama, iaitu:
1.      Zina
2.      Qazaf
3.      Mencuri
4.      Hirabah
5.      Minum arak
6.      Murtad
Kesalahan lain yang tidak disepakati oleh para ulama adalah pemberontakan (al-baghyu), liwat, hubungan sex dengan haiwan, sihir, lari dari medan perang, dan beberapa kesalahan lagi.
            Hudud pula adalah antara tiga bahagian undang-undang jenayah Islam. Undang-undang jenayah Islam membahagikan kepada tiga pembahagian utama berasaskan kepada hukuman yang dikuatkuasakan, iaitu seperti berikut:
1.      Qisas dan diyat iaitu hukuman berkaitan dengan hak individu mangsa atau walinya. Umpamanya setelah hakim mendapati seseorang itu bersalah kerana membunuh, wali mereka boleh memilih samada untuk meneruskan hukuman qisas atau menggantikannya dengan diyat atau memaafkannya.
2.      Hudud iaitu hukuman yang berkaitan dengan hak Allah yang telah ditetapkan dengan jelas di dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud melibatkan kesalahan zina, qazaf, mencuri, hirabah, minum arak, dan murtad. Hukuman hudud ini kekal dan tidak boleh diubah sehingga hari kiamat.
3.      Ta’zir iaitu hukuman selain dari hudud dan qisas. Hukuman bagi kesalahan dibawah qisas ini ditentukan oleh pemerintah atau hakim sesuai dengan suasana, penjenayah, kesalahan dan faktor lain.

3.0       PERKARA YANG BOLEH MENYEBABKAN MURTAD
Menurut Islam, murtad boleh terjadi dengan melakukan salah satu daripada tiga perkara berikut:
3.1       Qawli
Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata yang dikeluarkan oleh seseorang Islam yang menunjukkan dia menolak hukum-hukum Islam dan prinsip-prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau kata-kata yang menghina mana-mana ajaran Islam, hukum-hukum Islam, menghina Allah SWT, menghina nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi lain dan sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib berpuasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain. Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang diharamkan oleh Allah dan rasulnya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati oleh para ulama tentang halal atau haramnya seperti dia menghalalkan zina, menghalalkan liwat (hubungan sejenis), menghalalkan minum arak atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jualbeli dan seterusnya. Maka sikap demikian boleh menjadi murtad.





3.2       Fi’li
Murtad juga boleh berlaku melalui apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkahlaku yang boleh membatalkan imannya, maka seseorang itu boleh menjadi murtad seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain daripada Allah SWT seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain. Begitu juga yang meninggalkan sembahyang fardu atau puasa Ramadhan dengan mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia mengingkari salah satu perkara wajib yang telah diketahui oleh setiap orang Islam, tetapi kalau dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak menjadi murtad. Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah dan mempersendakan Islam seperti mencampakkan Al-Quran ke tempat-tempat kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadis dan tafsir atau memijak-mijaknya dengan niat menghina.

3.3       I’tiqadi
Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang Islam mengingkari didalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jenayah Islam) tidak layak dilaksanakan sekarang di dalam masyarakat moden. Begitu juga apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi. Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa nabi Muhammad SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah hukum-hukum lampau, tidak sesuai dengan zaman moden sekarang. Dia menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktikad tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak dibangkitkan semula sesudah mati, beriktikad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam atau berbalik-balik hati antara mahu menjadi kafir pada masa akan datang dan lainlain lagi keyakinan dan iktikad yang salah.

4.0       RUKUN RIDDAH
Rukun riddah ada dua :
1.      Keluar dari agama Islam
2.      Niat (kasad Jinayah), iaitu dengan bahawa penjenayah sengaja mendatangkan perbuatan atau perkataan yang mengkufurkan sedangkan dia tahu perkataan atau perbuatan itu membawa kekufuran. Oleh itu, tidak kufur bagi orang yang melakukan perbuatan yang membawa kekufuran sedangkan dia tidak mengetahui maknanya atau orang yang tersalah lidahnya tanpa qasad seperti orang yang mahu berkata “wahai Tuhan, Kengkau Tuhanku dan aku hambaMu”, berkata “wahai Tuhan, Engkau hambaku dan aku tuhanmu”.
Selain itu, ada dua cara yang dapat menjadikan penetapan seseorang itu benar-benar telah murtad atau sebaliknya. Dua cara itu adalah :
1.      Pengakuan. Penyataan ini dikeluarkan sendiri dalam pengakuannya bahawa dia telah murtad.
2.      Saksi. Ada dua orang saksi yang cukup syarat-syarat saksi melaporkan bahawa dia telah murtad.
5.0       SYARAT RIDDAH
Tidak dihukum murtad orang yang mengeluarkan perkataan atau perbuatan kufur kecuali apabila sempurna syarat berikut :
1.      Baligh. Kanak-kanak yang mengeluarkan perkataan atau perbuatan yang membawa kekufuran tidak memberi kesan kerana ia tidak dibebankan dengan hukum taklif.
2.      Berakal. Perkataan atau perbuatan yang dilakukan oleh orang gila tidak diambil kira. Sabda Rasulullah swa. yang bermaksud :
“Di angkat kalam dari mencatat(dosa) pada tiga : kanak-kanak sehingga ia baligh, orang tidur sehingga ia jaga dan orang gila sehingga dia sembuh”. (R.w.Ahmad, Abu Dawud, al-Nasa’I, Ibn Majah dan al-Hakim. al-‘Aljaluny t.th. 2:523)
3.      Tanpa paksaan. Seseorang yang terpaksa mengeluarkan perkataan atau perbuatan yang mengkufurkannya, tidak dihukum kufur dengan syarat paksaan itu melibatkan kebinasaan nyawa atau marwah kehormatan atau anggota badan atau penyeksaan yang tidak tertanggung.
6.0       HUKUMAN RIDDAH
Hukuman bagi orang murtad adalah berbeza dengan berbeza suasana jenayah. Antaranya hukuman asalnya iaitu bunuh dan hukuman lain.
6.1       Bunuh
Hukuman bunuh adalah hukuman asal bagi orang murtad. Berdasarkan hadis Nabi saw. yang bermaksud :
“Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia” (R.w. al-Jama’ah kecuali Muslim. Nayl al-Awtar t.th. 7:216)
Berkata Ibn Quddamah(t.th. 8:123) : “Ahli ilmu bersependapat tentang wajib dikenakan hukum bunuh kepada orang murtad”. Begitu juga dengan ulama-ulama mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali serta lain-lain dari para fuqaha yang masyhur (‘Ali Mansur 1976:391)
            Abu Hanifah sahaja berpendapat bahawa perempuan yang murtad tidak dibunuh dan ia dipaksa bertaubat, didenda atau dipenjara sehingga dia bertaubat atau mati. Hujah beliau adalah bahawa Rasulullah saw. melarang membunuh perempuan kafir dan apabila seseorang perempuan tidak dibunuh dengan sebab kafir asli, maka lebih-lebih lagi ia tidak dibunuh dengan sebab kafir yang baru mendatang (Ibn Qudamah, t.th. 8:123)
            Dan ini tidak bertentangan dengan larangan Rasulullah membunuh perempuan kafir kerana maksud kafir yang asli, dan tidak sah dikiaskan kufur yang baru mendatang dengan kufur asli kerana lelaki dan perempuan diperakui atas kekufurannya yang asli tetapi tidak diperakui atas kekufuran yang mendatang. Justeru, kafir asli tidak dipaksa meninggal agama mereka. (Awdah t.th. 2:721)

6.2       Bertaubat
Pada dasarnya, orang murtad tidak dibunuh melainkan disuruh bertaubat. Jika tidak, maka dia dihukum bunuh. Mazhab Hanafi mengatakan hukum meminta orang bertaubat adalah sunat kerana dakwah islamiyah telah sampai kepadanya, maka ternafi kewajipan tersebut.
            Semetara jumhur ulama berpendapat, hukumya adalah wajib berdasarkan hadis Um Marwan yang murtad, lalu disampaikan perkara itu kepada Nabi saw., Baginda memerintahkan supaya perempuan itu bertaubat, jika dia enggan maka bunuhlah dia (Nayl al-Awtar t.th. 7:217)
            Mazhab Malik perpendapat bahawa orang murtad dituntut bertaubat dalam tempoh tiga hari tiga malam dari hari sabit kekufurannya. Dia terlepas dari menjalani hukuman bunuh andainya dia bertaubat. Diriwatkan daripada Ali ra. bahawa beliau berkata “diminta orang murtad bertaubat sebanyak tiga kali” (al-Zarqany 1978, 8:65). Pada satu riwayat, Ali berkata “Diberi tempoh sebulan kepada orang murtad untuk bertaubat, dan riwayat lyang lain temponya dua bulan (‘Ali Mansur 1976:387)
            Abu Hanifah berpendapat bahawa tempoh tersebut terserah kepada kebijaksanaan pemerintah menentukannya. Dalam mazhab Syafi’e pula ada dua pendapat. Pertama diberi tempoh selama tiga hari. Kedua dibunuh segera apabila disuruh bertaubat tetapi enggan berbuat demikian. (Ibn Quddamah t.th. 8:125)
6.3       Hukuman Gantian
Apabila hukuman asli gugur dengan sebab bertaubat, maka kadi boleh mengenakan hukuman ta’zir yang sesuai dengan penjenayah seperti sebat, diletak dalam tahanan, dikenakan denda atau dipermalukan.
            Dan apabila gugur hukuman asli kerana syubhah, maka penjenayah ditahan sehingga ternyata bahawa dia telah kembali kepada Islam.



6.4       Pengurusan Hartanya
Ulama sepakat bahawa orang murtad akan memiliki semula hartanya yang ditahan sekiranya kembali semula kepada Islam. Jika dia mati atau dibunuh atau lari ke Negara harb, maka hilanglah hak memiliki hartanya.
            Pendapat Abu Hanifah, al-Shafi’e (pada qawl yang azhar), Malik (pada pendapat yang rajah dalam mazhabnya) dan pada zahir pendapat Ahmad : Bahawa harta orang murtad tergantung dengan sebab dia murtad sehingga dia kembali kepada Islam. Maka, hartanya itu kembali padanya. Jika dia meninggal dunia, atau terbunuh atau lari ke negara harb, maka hilanglah hak memiliki hartanya lalu dipindahkan kepada warisnya yang Muslim mengikut pendapat Abu Hanifah kerana kemurtadannya menepati kematian dan harta yang diusahakan semasa dia murtad menjadi fai’ bagi orang Muslimin dan juga dimasukkan ke dalam Bayt Mal kerana hasil usaha semasa murtad adalah usaha orang yang darahnya halal dan hartanya menjadi sama dengan harta kafir harb. Begitu juga dengan pengurusan hartanya.
            Pendapat mazhab Shafi’e pula apabila sesuatu pengurusan itu diandaikan boleh tergantung seperti wasiat, maka ia tergantung. Jika tidak boleh diandaikan tergantung seperti wakaf, jualbeli, hibah dan gadaian, maka pengurusannya adalah terbatal kerana mereka mengatakan bahawa akad-akad kontrak tersebut yang tergantung adalah batal.
            Dua sahabat Abu Hanifah dan pendapat yang rajah dalam Mazhab Hanabilah mengatakan: Tidak hilang hak milik seorang murtad dengan semata-mata dia murtad. Hak tersebut hanya akan hilang dengan kematiannya atau dibunuh kerana kesan riddah adalah jelas tentang halal darahnya, bukan tentang hilang hak milik ke atas hartanya. Ini kerana orang murtad adalah mukallaf, maka ia mempunyai kelayakannya yang sempurna membuat pengurusan. Justeru itu, hak miliknya adalah kekal. Kehilangan hak ketepeliharaan pada dirinya tidak mesti membawa kepada hilang hak milk hartanya.
            Bagaimanapun Hanabilah mengatakan bahawa kalau orang murtad lari ke negara harb, tidak hilang hak miliknya. Akan tetapi dihalalkan darahnya bagi setiap orang tanpa tertakluk kepada tuntutan supaya dia bertaubat dan diharuskan mengambil hartanya bagi mereka yang mampu. Ini kerana dia telah menjadi kafir harb dan hukumnya adalah hukum kafir harb. Maka segala pengurusan orang murtad ketika itu jadi tergantung.[3]
            Dalam bab mempusakai harta orang murtad pula, apabila orang murtad meninggal dunia atau dibunuh, maka langkah pertama dimulai dengan membayar hutangnya, pampasan ganti rugi terhadap jenayah yang dilakukan, nafkah isteri dan kerabatnya. Yang baki dari hartanya dimasukkan ke dalam Bayt mal sebagai fay’ bagi orang Muslimin menurut Mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali berdasarkan sabda Rasulullah saw. yang bermaksud :
“Orang Muslim tidak mempusakai orang kafir, dan orang kafir tidak mempusakai orang Muslim” (R.w. Bukhari dan Muslim. Subl al-Ssalam, 3:98)
            Abu Hanifah pula berpendapat bahawa apabila orang murtad meninggal dunia atau dibunuh atau lari ke negara harb dan meninggalkan hartanyadi negara Islam, maka harta itu berpindah kepada warisnya kerana hasil usahanya semasa Islam dipusakai oleh warisnya, dengan itu sempurna syarat orang Muslim mempusakai dari orang Muslim. Manakala harta yang didapati semasa riddahnya menjadi fay’ bagi Muslimin dan dimasukkan ke dalam Bayt Mal. Ini kerana dia telah hilang maliknya dengan sebab riddah, seolah-olah hasil usahanya semasa riddah tidak menjadi miliknya.
           
6.5       Terputus Hubungan Suami Isteri
Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan dijatuhkan hukuman bunuh, apabila tidak mahu bertaubat. Sekiranya salah seorang suami atau isteri murtad, maka pernikahan kedua-duanya terbatal. Walaupun begitu, Sekiranya yang murtad kembali bertaubat (masuk Islam semula) dalam masa edah isterinya belum habis (tamat) maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira kembali seperti asal. Tidak perlu akad nikah baru. Tetapi jika dia tidak bertaubat dalam masa edah isterinya tamat, nikah tersebut dianggap terbatal.
6.6       Penyembelihan Tidak Halal
Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan. Hukumnya sama dengan hukum penyembelihan orang kafir yang menyembah berhala. Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat yang dikerjakan, walaupun berapa banyak sekalipun menjadi   sia-sia. Ini akan berlaku sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati di dalam kufur. Tetapi sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam semula, maka dia dituntut supaya menggantikan amalan-amalan ibadat seperti sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang tempoh murtad tersebut. Adapun haji yang dikerjakan sebelum murtad tidak perlu digantikan.
7.0       ISU YANG BERKAITAN DENGAN RIDDAH
7.1       Konflik antara Hak Kebebasan Agama dan Hak Asasi Manusia
Konsep kebebasan agama dalam Islam disebut dalam al-Quran yang bermaksud :
“Tidak ada paksaan dalam agama Islam kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan kufur. Oleh itu sesiapa yang tidak percayakan taghut dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali agama yang teguh, yang tidak akan putus. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”
(Surah Al-Baqarah 2 : 256)
Jika dilihat asbabun nuzul, ayat di atas diturunkan setelah berlaku peristiwa seorang ayah yang tinggal di Madinah pada masa itu belum memeluk Islam menyerahkan anaknya kepada orang Yahudi Bani Nadhir untuk dipelihara. Kemudiannya orang Madinah menjadi Islam, menyambut kedatangan Rasulullah saw dan menjadi kaum Anshar. Apabila berlaku pengusiran ke atas Bani Nadhir keluar daripada Madinah kerana mengengkari perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani, maka si ayah tadi memohon kepada Rasulullah saw supaya anak itu ditarik kepada Islam, kalau perlu dengan paksa. Beliau mengatakan ‘Belahan diriku sendiri akan masuk neraka, ya Rasulullah!’. Maka turunlah ayat di atas ‘tidak ada paksaan dalam agama’. Kalau anak itu sudah terang menjadi Yahudi, tidaklah boleh dipaksa memeluk Islam. Menurut riwayat Ibnu Abbas, Nabi saw hanya memanggil anak-anak itu dan disuruh memilih, apakah mereka sudi memeluk agama ayah mereka, iaitu Islam atau tetap dalam Yahudi dan turut diusir? Dan menurut riwayat, ada yang memeluk Islam dan ada yang terus menjadi Yahudi dan sama berangkat dengan Yahudi yang mengasuhnya itu meninggalkan Madinah. Keyakinan suatu agama tidaklah boleh dipaksakan, sebab : ‘Telah nyata kebenaran dan kesesatan’ . Agama Islam memberi orang kesempatan mempergunakan akalnya yang murni untuk mencari kebenaran.
            Berdasarkan ayat di atas menunjukkan bahawa konsep ‘tiada paksaan dalam agama’ hanya terpakai kepada orang-orang bukan Islam sahaja. Jika sekiranya seseorang bukan Islam itu telah memasuki agama Islam, maka konsep di atas tidak akan terpakai. Maka hujah yang menyatakan bahawa ayat ‘tiada paksaan dalam agama’ merujuk kepada ‘hak untuk menukar agama’ tidak boleh diterima kerana ianya jauh terpesong daripada konsep agama Islam dan juga bercanggah dengan ayat-ayat suci yang menjanjikan azab seksa dan sengsara di dalam neraka. Seterusnya dalam Surah al-Kafirun, Allah swt berfirman yang bermaksud, “Katakanlah “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah Allah yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku””
            Maka, dalil di atas sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11(1) menyebut : ‘Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan agamanya’. Fasal (4) menyebut : ‘Undang-Undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Undang-Undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam’. Fasal (4) secara jelas menyatakan bahawa melalui peruntukan Undang-Undang boleh ‘mengawal atau menyekat’ sebarang penyebaran lain-lain agama ke atas orang-orang Islam. Maka pihak berkuasa boleh mengambil apa-apa tindakan yang munasabah untuk memberi efek kepada Fasal (4) tersebut.
7.2       Hukuman bunuh adalah melulu dan kejam
Jumhur Fuqaha’ yang terdiri daripada Imam Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat : hukuman bunuh ke atas orang-orang Islam yang telah murtad dan enggan bertaubat, wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad, sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda tanpa perbezaan.
Seseorang Islam yang telah murtad tidak boleh dihukum bunuh, kecuali setelah dan selepas diminta bertaubat terlebih dahulu untuk mengetahui sebab-sebab ia menjadi murtad. Jika seseorang itu murtad disebabkan salah faham mengenai agama Islam hendaklah diberi penjelasan kepada mereka kedudukan yang sebenar masalah-masalah yang berkaitan dengan agama Islam sehingga mereka faham dan menyedari kesalahan dan rujuk kembali menganut agama Islam. Dan jika seseorang tadi murtad disebabkan keingkarannya hendaklah juga diminta mereka bertaubat agar kembali kepada agama Islam. Setelah orang yang murtad itu diminta bertaubat , tetapi ia masih berdegil juga (tidak mahu bertaubat), maka wajiblah dibunuh.
Oleh yang demikian, tidak benarlah pengataan bahawa hukuman bunuh terhadap orang yang murtad adalah melulu dan kejam kerana mereka telah diberi berpeluang untuk bertaubat. Dan dalam tempoh tersebut juga, mereka boleh mempelajari dan mendalami ajaran Islam untuk menjelaskan kekaburan dan ketidakfahaman, salah faham dan sebagainya yang telah membuatkan mereka mengambil tindakan terburu-buru untuk murtad. Seolah-olah tiada jalan lain untuk menyelesaikan kebuntuan fikiran dan masalah yang mereka hadapi selain daripada mengambil keputusan untuk meninggalkan agama Islam yang murni. Hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas orang yang telah thabit murtadnya itu tidak boleh dianggap suatu tindakan yang melulu dan kejam, kerana hukuman itu adalah hukuman Allah dan RasulNya yang wajib dilaksanakan, dan tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan hukuman Allah. Walaubagaimanapun, kesalahan murtad di Malaysia dilihat dari dua sudut iaitu, pertamanya, sebagai kesalahan jenayah riddah, dan keduanya, sebagai kesalahan menghina agama Islam.

7.3       Undang-Undang Islam hendaklah mengikut kehendak peredaran zaman
Antara isu yang ditimbulkan lagi, adakah semua hukum-hakam syariat boleh diperbaharui dan dikembangkan? Dan bolehkan hukum hakam Islam disesuaikan mengikut peredaran zaman serta terikat dengan Akta-Akta, Enakmen-Enakmen, dan kepentingan hak asasi manusia? Untuk membincangkan isu ini terutamanya apabila melibatkan hukum murtad, kita perlu membahagikan semua hukum-hakam perundangan ini kepada tiga bahagian :
1        Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima perubahan
Semua dasar dan kaedah yang berkait dengan pengurusan harta, penentuan hukum, system ekonomi dan pentadbiran serta perlembagaan. Syariat dalam masalah ini hanya menetapkan kaedah serta skop yang umum, sementara tugas melakukan serta menghuraikan pelaksanaannya diserahkan kepada eksekutif serta penggubal undang-undang agar sesuai dengan zaman serta suasana setempat dengan syarat tidak bercanggah dengan nas sahih, tidak terkeluar dari kaedah umum atau melampaui dari skop yang dibenarkan.
2        Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima pengembangan
Masalah yang tidak ada nas yang terang adalah tertakluk kepada ijtihad semasa. Masalah-masalah ini seperti menerangkan hukum Islam tentang jaminan pencen pekerja, ganti rugi pemberhentian kerja dan lain-lain lagi. Ulama muktabar, warak, bertakwa, berkebolehan dalam berijtihad perlu menentukan hukum Islam berasaskan kemaslahatan, perkembangan, sesuai dengan perkembangan tamadun serta kemajuan ilmu. Kaedah fiqh : ‘tidak dinafikan hukum-hakam itu berubah mengikut perubahan zaman’.
3        Masalah-masalah perundangan tetap yang tidak boleh menerima pembaharuan dan pengembangan. Ijtihad tidak dibenarkan dalam masalah yang terdapat nas yang qat’i, seperti masalah aqidah, rukun iman, hukum-hakam ibadah, haramnya zina, riba, arak, judi, membunuh jiwa, membataskan bahagian harta warisan, menghadkan iddah talak dan kematian, larangan membuka aurat, percampuran lelaki dan perempuan dan sebagainya. Ini untuk menjamin tidak berlaku perubahan hukum yang boleh menghancurkan syariat dan ajaran Islam. Ulama’ usul mengatakan : ‘berijtihad tidak dibolehkan terhadap masalah ada nas’
7.4       Orang-orang bukan Islam hendaklah diberi hak kebebasan untuk menegur, memberi pandangan, mengkritik ajaran dan undang-undang Islam.
Ini adalah satu isu yang dibangkitkan oleh salah seorang aktivis muslimah dalam sebuah NGO yang memperjuangkan hak kebebasan beragama menurut perspektif dan kefahamannya.
Jika sekiranya, orang Islam sendiri merelakan agamanya dikritik dan menganjurkan agar dibenarkan Islam dikritik oleh orang-orang bukan Islam, apakah pula pandangan orang-orang bukan Islam? Sedangkan, umat Islam dianjurkan agar menghormati agama lain. Mengapa pula, penganut agama lain tidak boleh dianjur supaya menghormati agama Islam yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi atau persekutuan? Tambahan, undang-undang syariah hanyalah meliputi orang-orang Islam sahaja. Maka, apakah wujud kerisauan dihati orang-orang bukan Islam bahawa mereka juga akan dihukum jika melakukan kesalahan?
Hal ehwal agama hendaklah dibincangkan oleh pakar agama sahaja. Orang-orang Islam yang awam yang tidak memahami konsep perundangan Islam, ilmu fiqh, usul fiqh dan sebagainya tidak mungkin atau amat sukar untuk memahami undang-undang syariah, apatah lagi orang-orang bukan Islam yang diajak untuk berbincang tentang ajaran Islam. Bahkan, umat Islam sendiri tidak pernah menyentuh, mengkritik, atau apa-apa sahaja berkaitan agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain. Contohnya, seseorang yang memerlukan pembedahan koronari, apakah akan diajak seorang doktor gigi untuk melakukan pembedahan tersebut, ataupun dipanggil seorang mekanik, atau seorang peguam untuk melakukan tugasan tersebut? Walaupun, doktor gigi berada dalam aliran atau bidang `kedoktoran’ yang sama tetapi beliau tidak mempunyai kepakaran dalam perkara pembedahan koronari.



KESIMPULAN
Murtad ialah merujuk kepada perbuatan meninggalkan agama Islam sesudah mengaku beriman. Ia boleh berlaku melalui kata-kata atau perbuatan atau iktiqad (kepercayaan). Orang yang boleh dihukum sebagai murtad haruslah yang sudah baligh, siuman dan bertindak secara sukarela tanpa paksaan. Mengikut ijma’ ulama, orang murtad boleh dihukum bunuh.
            Al-Quran menjelaskan bahawa orang yang keluar dari agama Islam kepada kufur adalah orang yang mensia-siakan amalannya di dunia dan menunggu kemerbahayaan besar di Hari Akhirat. Firman Allah swt. dalam Surah al-Baqarah ayat ke 218:
وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧
Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”
Dari ulasan-ulasan diatas jelaslah bahawa murtad menurut perspektif Islam merupakan satu jenayah besar dalam Islam, ia dianggap kufur yang paling jijik dan keji, malah lebih keji dari kufur biasa, kerana orang murtad dianggap menghina Islam, menghina Allah s.w.t. dan Rasullullah s.a.w. Sebab itu, orang murtad mesti dijatuhkan hukuman bunuh apabila didapati bertaubat beberapa kali sedangkan dia tetap tidak mahu bertaubat.



           
RUJUKAN
Al-Quran Dan Terjemahannya.
Abdullah Ahmad Qadiri, Ter. Salim Muh. Wakid, 1980, Murtad Dikutuk Allah, Cetakan Pertama, Indonesia, CV. Pustaka Mantiq.
Muhammad Hj Daud, Ahmad Kamarudin Hj Hamzah, 2006, Fiqh Muamalat dan Jenayah, Cetakan Semula, Selangor, Pusat Kembangan Pendidikan.
Al-Ajuluni, Ismail Bin Muhamad Abdulhadi, Kasyf al-Khafa’, Kahirah, Jami’ah al-Azhar
Ali Mansur, 1976, nizam al-Tajrim Wa al-Iqab Fi al-Islam, Kahirah, al-Turarh al-Islami.
Awdah, Abdul Qadir, al-Tasyri’ al-Jani’I al-Islami, Beirut, Dar al-Kitab al-Arabi
Ibn Quddamah, Abdullah Bin Ahmad Bin Muhamad, al-Mughni, Kahirah, al-Halabi.
Al-Sywkani, Muhamad Bin abdulRahman Bin Muhamad. Nayl al-Awtar, Kahirah, al-Halabi.
Al-Zarqani, Abdulbaqi, 1978, Syarh al-Zarqani. Beirut, Dar al-Fikr.



[1] Abdullah Ahmad Qadiri, Ter. Salim Muh Wakid, Murtad Dikutuk Allah, hlm. 18.
[2] Ibid. hlm. 20.
[3] Muhammad Hj Daud, Ahmad Kamarudin Hj Hamzah, Fiqh Muamalat dan Jenayah, Hlm. 256.

No comments:

Post a Comment