Saturday, 7 June 2014

Imam Al-Ghazali

    1. PENDAHULUAN
Imam Al-Ghazali, sebuah nama yang tidak asing di telinga kaum muslimin. Tokoh terkemuka dalam bidang falsafah dan tasawuf. Memiliki pengaruh dan pemikiran yang telah tersebar ke seluruh dunia Islam. Sejarah dan perjalanan hidupnya masih terasa asing. Kebanyakan kaum muslimin belum ketahui. Kertas kerja ini akan mengambarkan sejarah kehidupannya. InsyaAllah, kita semua dapat mengambil hikmah dan pengajaran serta dapat dijadikan teladan daripada sejarah hidup beliau.

2.1 NAMA, NASAB DAN KELAHIRAN
Beliau bernama Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad At-Thusi, Abu Hamid Al-Ghazali. Para ulama nasab berselisih dalam penyandaran nama Imam Al Ghazali. Sebagian mengatakan, bahwa penyandaran nama beliau kepada daerah Ghazalah di Thusi, tempat kelahiran beliau.
Sebagian lagi mengatakan penyandaran nama beliau kepada pekerjaan keluarganya iaitu menenun sehingga ditasydid Al-Ghazali. Demikian pendapat Ibnul Atsir. Ada yang berpendapat Al-Ghazali adalah penyandaran nama kepada Ghazalah anak perempuan Ka’ab Al-Akhbar, ini pendapat Al-Khafaji.
Yang dijadikan sandaran para ahli nasab mutaakhirin adalah pendapat Ibnul Atsir dengan tasydid iaitu penyandaran nama kepada pekerjaan dan keahlian bapa dan abangnya. Beliau lahir pada tahun 450 H, bertepatan dengan 1059 M di Ghazalah suatu kota kecil yang terlelak di Thus wilayah Khurasah yang waktu itu merupakan salah satu pusat ilmu pengetahuan di dunia islam.1

2.2 PERJALANAN KEHIDUPAN IMAM AL-GHAZALI
Ayah beliau adalah seorang pengusaha kain shuf (yang dibuat dari kulit kambing) dan menjualnya di kota Thusi. Sebelum wafat, dia mewasiatkan kepada sahabatnya yang alim untuk memelihara kedua anaknya. Setelah meninggal, maka temannya tersebut mengajar kedua anaknya ilmu, sehingga harta peninggalannya habis.
Ayahnya orang miskin yang soleh. Tidak makan kecuali hasil pekerjaannya iaitu jualan pakaian kulit. Beliau mengujungi ahli fiqh dan bermajlis dengan mereka. Apabila mendengar ajaran mereka (ahli fiqh), beliau menangis dan berdoa memohon diberi anak yang mahir dalam bidang fiqh. Apabila dia hadir di majlis ceramah pula, dia menangis dan memohon kepada Allah Ta’ala untuk diberikan anak yang mahir dalam ceramah.
Allah mengabulkan kedua doa beliau tersebut. Imam Al Ghazali menjadi seorang yang faqih dan saudaranya Ahmad menjadi seorang yang ilmuan dalam memberi ceramah nasihat.


2.3 PENDIDIKAN DAN ILMU
Imam Ghazali memulakan pendidikannya di wilayah kelahirannya sendiri. Dengan ayahnya, dia belajar Al-qur’an dan asas-asas ilmu keagamaan yang lain.Kemudian dia menuntut ilmu di Thusi dengan mempelajari asas-asas ilmu. Setelah dia belajar dari kawan ayahnya (seorang ahli tasawuf), Imam Ghazali dan saudaranya Ahmad memasuki sekolah untuk memperoleh ilmu pengetahuan yang lain. Beliau mempelajari asas Islam iaitu Al-Quran dan Sunnah Nabi. Antara kitab-kitab hadis yang dipelajari ialah Sahih Bukhari, Sunan Abi Daud, Maulid An-Nabi dan Sahih Muslim.[4] Begitu juga bidang-bidang ilmu yang di kuasainya iaitu usul fiqh, mantiq, falsafah, dan tasawuf[5]
Seterusnya, dia belajar fiqh dengan Imam Kharamain, dia belajar bersungguh-sungguh sehingga mahir dalam bidang mazhab, khilaf (perbezaan pendapat), perdebatan, mantik, membaca hikmah, dan falsafah. Imam Kharamain menggelarkannya sebagai lautan yang luas.[6]
Setelah Imam Kharamain meninggal, kemudian dia pergi ke Baghdad dan mengajar di Nizhamiyah. Beliau mengarang beberapa kita tentang mazhab. Antaranya kitab al-Basith, al-Wasith, al-Wajiz, dan al-Khulashoh. Dalam usul fiqih, beliau mengarang kitab al-Mustasfa, kitab al-Mankhul, Bidayatul Hidayah, al-Ma’lud Filkhilafiyah, Syifaal Alil Fi Bayani Masa Ilit dan lain-lain.[7]
Antara tahun 465-470 H Imam Al-Ghazali belajar fiqh dan ilmu-ilmu asas yang lain dari Ahmad Al-Radzaski di Thus, dan dari Abu Nasral Ismailli di Jurjan. Setelah Imam Al-Ghazali kembali ke Thus dan menetap selama 3 tahun di tempat kelahirannya, beliau mengulangkaji ilmunya di Jurjan sambil belajar tasawuf dengan Yusuf Al-Nassaj. Pada tahun itu Imam Al-Ghazali berkenalan dengan Al-Juwaini dan memperoleh ilmu kalam dan mantiq. Imam al-Ghazali menjadi pembahas paling bijak di zamanya. Imam Haramain merasa bangga dengan prestasi muridnya.
Walaupun Imam Al-Ghazali telah masyhur, beliau tetap setia terhadap gurunya sampailah gurunya wafat pada tahun 478 H. Sebelum Al-Juwani wafat, beliau memperkenalkan Imam Al-Ghazali kepada Nidzham Al-Mulk, Perdana Menteri Sultan Saljuk Malik Syah Nidzham adalah pengasas Madrasah Al-Nidzhamiyah. Di Naisabur ini Imam Al-Ghazali sempat belajar tasawuf dari Abu Ali Al-Faldl Ibn Muhammad Ibn Ali Al-Farmadi.[8]
Setelah gurunya wafat, Imam Al-Ghazali meninggalkan Naisabur dan menuju negeri Askar untuk berjumpa dengan Nidzham Al-Mulk. Di daerah ini beliau diberi peluang untuk berdebat dengan ‘ulama. Dari perdebatan yang dimenanginya ini, namanya semakin popular dan disegani ramai orang kerana keluasan ilmunya. Pada tahun 484 H bersamaan 1091 M, Imam Al-Ghazali diangkat menjadi guru besar di Madrasah Nidzhamiyah. Selama megajar di madrasah, Imam Al-Ghazali mendalami falsafah, terutama pemikiran Al-Farabi, Ibn Sina Ibn Miskawih dan Ikhwan Al-Shafa. Penguasaanya terhadap falsafah terbukti apabila beliau mengeluarkan karyanya seperti Al-Maqasid Falsafah Tuhaful Al-Falasiyyah.[9]
Pada tahun 488 H bersamaan 1095 M, Imam Al-Ghazali dilanda keraguan dan kecelaruan terhadap ilmu-ilmu yang dipelajarinya. Keraguan kerjayanya dan karya-karya yang dihasilkannya, sehingga beliau menderita penyakit selama dua bulan dan sukar diubati. Kerana itu, Imam Al-Ghazali tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai guru besar di Madrasah Nidzhamiyah, yang akhirnya beliau meninggalkan Baghdad menuju kota Dimasyk. Selama kira-kira dua tahun Imam Al-Ghazali di kota Dimasyk. Kemudian beliau berpindah ke Baitul Maqdis Palestin. Setelah itu, tergerak di hatinya untuk menunaikan ibadah haji dan menziarahi makam Rasulullah SAW.[10]
Apabila dari tanah suci, Imam Al-Ghazali mengunjungi kota kelahirannya di Thusi, disinilah beliau berseorangan selama 10 tahun. Pada masa itulah beliau menulis karyanya yang terkenal “Ihya’ ‘Ulumuddin” ( menghidupkan kembali ilmu agama).[11]


2.4 KEHIDUPAN AKHIR
Beliau menghabiskan masa akhirnya dengan kembali mempelajari hadis dan berkumpul dengan murid-muridnya. Beliau juga tekun menuntut ilmu hadis dan menelaah Shahih Bukhari dan Muslim. Beliau tidak sempat meriwayatkan hadis dan tidak memiliki keturunan kecuali beberapa orang puteri.
Abul Faraj Ibnul Jauzi menyampaikan kisah meninggalnya beliau dalam kitab At-Tsabat Indal Mamat, pada subuh hari Isnin, beliau berwuduk dan solat, lalu berkata, “Bawa kemari kain kafan saya.” Lalu beliau mengambil dan menciumnya serta meletakkannya di kedua matanya, dan berkata, “Saya patuh dan taat untuk menemui Malaikat Maut.” Kemudian beliau meluruskan kakinya dan menghadap kiblat. Beliau meninggal sebelum menjelang pagi hari. (Dinukil oleh Adz Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34). Beliau meninggal di kota Thusi, pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir 505 H bersamaan 1 Disember 1111 M dan dikuburkan di tanah pekuburan At-Thabaran (Thabaqat Asy Syafi’iyah 6/201).[12]

3.1 GURU-GURU IMAM AL-GHAZALI
Imam Al-Ghazali dalam perjalanan menuntut ilmunya mempunyai banyak guru. Antara guru-guru Imam Al-Ghazali sebagai berikut :
  1. Abu Sahl Muhammad Ibn Abdullah Al-Hafsi, beliau mengajar Imam Al-Ghazali kitab Sahih Bukhari.
  2. Abul Fath Al-Hakimi At-Thusi, beliau mengajar imam Imam Al-Ghazali kitab Sunan Abi Daud.
  3. Abdullah Muhammad Bin Ahmad Al-Khawari, beliau mengajarnya kitab Maulid An-Nabi.
  4. Abu Al-Fatyan ‘Umar Al-Ru’asi, beliau mengajarnya kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.[14]
3.2 MURID-MURID IMAM AL-GHAZALI
Imam Al-Ghazali mempunyai banyak murid.Kebanyakkan murid-murid beliau menerima dan memperolehi ilmu di Madrasah Nidzhamiyah iaitu sebuah madrasah yang menjadi tempat Imam Al-Ghazali mencurahkan segala ilmu yang dimilikinya. Antara murid-murid beliau adalah :
  1. Abu Thahir Ibrahim Ibn Muthahir Al- Syebbak Al-Jurjani (Wafat 513 H).
  2. Abu Fath Ahmad Bin Ali Bin Muhammad Bin Burhan (Wafat 474-518 H), pada mulanya beliau bermazhab Hambali, kemudian setelah beliau belajar dengan imam Ghazali, beliau bermazhab Syafi’i. Di antara karya-karya beliau adalah al-Ausath, al-Wajiz, dan al-Wushul.
  3. Abu Thalib, Abdul Karim Bin Ali Bin Abi Tholib Al-Razi (Wafat 522 H), beliau mampu menghafal kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali.
  4. Abu Hasan Al Jamal Al Islam, Ali Bin Musalem Bin Muhammad Assalami (Wafat 541 H). Karyanya Ahkam Al-Khanatsi.
  5. Abu Mansur Said Bin Muhammad Umar (Wafat 539 H), beliau belajar fiqh dengan Imam Al-Ghazali sehingga menjadi ‘ulama besar di Baghdad.
  6. Abu Al-Hasan Sa’ad Al-Khair Bin Muhammad Bin Sahl Al-Anshari Al-Maghribi Al-Andalusi (Wafat 541 H). Beliau belajar fiqh dengan Imam Al-Ghazali di Baghdad.
  7. Abu Said Muhammad Bin Yahya Bin Mansur Al-Naisabur (Wafat 584 H), beliau belajar fiqh dengan Imam Al-Ghazali, antara karya-karya beliau adalah Al-Mukhit fi Sarh Al-Wasith fi Masail Al-Khilaf.
  8. Abu Abdullah Al-Husain Bin Hasr Bin Muhammad (Wafat 552 H), beliau belajar fiqh dengan Imam Al-Ghazali. Diantara karya-karya beliau adalah Minhaj Al-Tauhid dan Tahrim Al-Ghibah.[15]
Sememangnya sudah menjadi kelaziman sebagai seorang yang banyak memiliki ilmu membuatkan masyarakat berlumba-lumba untuk mendampingi beliau untuk merebut setiap ilmu-ilmu yang di miliki oleh Imam Al Ghazali.Maka tidak hairanlah beliau mempunya ramai anak-anak murid yang amat alim dalam ilmu agama.Antara murid–murid beliau kebanyakannya mempelajari ilmu fiqh. Bahkan diantara murid- murid beliau menjadi ulama besar dan pandai mengarang kitab.

4.0 KARYA-KARYA IMAM AL-GHAZALI
Beliau seorang yang sangat gemar menulis. Karya ilmiah beliau sangat banyak sekali dan terbahagi kepada 2 bahagian. Antaranya adalah seperti berikut :

4.1 KARYA USULUDDIN DAN AQIDAH
  1. Arba’in Fi Ushuliddin. Merupakan juz kedua dari kitab beliau Jawahirul Qur’an.
  2. Qawa’idul Aqa’id, yang beliau satukan dengan Ihya’ Ulumuddin pada jilid pertama.
  3. Al Iqtishad Fil I’tiqad.
  4. Tahafut Al Falasifah. Berisi bantahan beliau terhadap pendapat dan pemikiran para filosof dengan menggunakan kaidah mazhab Asy’ariyah.
  5. Faishal At Tafriqah Bainal Islam Wa Zanadiqah.
4.2 KARYA USUL, FALSAFAH, TASAWUF
  1. Al-Mustashfa Min Ilmil Ushul. Merupakan kitab yang sangat terkenal dalam ushul fiqh.
  2. Mahakun Nadzar.
  3. Mi’yarul Ilmi. Kedua kitab ini berbicara tentang mantik dan telah dicetak.
  4. Ma’ariful Aqliyah. Kitab ini dicetak dengan tahqiq Abdulkarim Ali Utsman.
  5. Misykatul Anwar. Dicetak berulangkali dengan tahqiq Abul Ala Afifi.
  6. Al Maqshad Al-Asna Fi Syarhi Asma Allah Al-Husna. Telah dicetak.
  7. Mizanul Amal. Kitab ini telah diterbitkan dengan tahqiq Sulaiman Dunya.
  8. Al-Madhmun Bihi Ala Ghairi Ahlihi. Oleh para ulama, kitab ini diperselisihkan kesahihannya sebagai karya Al-Ghazali.
  9. Al-Ajwibah Al-Ghazaliyah Fil Masail Ukhrawiyah.
  10. Ma’arijul Qudsi fi Madariji Ma’rifati An-Nafsi.
  11. Qanun At-Ta’wil.
  12. Fadhaih Al-Bathiniyah dan Al-Qisthas Al-Mustaqim. Kedua kitab ini merupakan bantahan beliau terhadap usul batiniyah. Keduanya telah diterbitkan.
  13. Iljamul Awam An Ilmil Kalam. Kitab ini telah diterbitkan berulang kali dengan tahqiq Muhammad Al-Mu’tashim Billah Al-Baghdadi.
  14. Raudhatuth Thalibin Wa Umdatus Salikin, diterbitkan dengan tahqiq Muhammad Bahit.
  15. Ihya’ Ulumuddin. Kitab yang cukup terkenal dan menjadi salah satu rujukan sebagian kaum muslimin di Indonesia. Para ulama terdahulu telah mengkaji dan merujuk kitab ini.
5.1 AQIDAH, MAZHAB DAN FALSAFAH IMAM AL-GHAZALI
Dalam masalah fiqh, beliau seorang yang bermazhab Syafi’i. Bukti, karyanya Al-Wasith, Al-Basith dan Al-Wajiz. Bahkan kitab beliau Al-Wajiz termasuk buku induk dalam mazhab Syafi’i yang mendapat perhatian khusus dari para ulama Syafi’iyah.
Sedangkan dalam sisi akidah, beliau sudah terkenal dan masyhur sebagai seorang yang bermazhab Asy’ariyah. Banyak membela Asy’ariyah dalam membantah batiniyah, para ahli falsafah serta kelompok yang menyelisihi mazhabnya. Oleh kerana itu, beliau menamakan kitab aqidahnya yang terkenal dengan judul Al-Iqtishad Fil I’tiqad. Tetapi karya beliau dalam aqidah dan cara pengambilan dalilnya, hanyalah merupakan ringkasan dari karya tokoh ulama Asy’ariyah sebelum beliau. Tidak memberikan sesuatu yang baru dalam mazhab Asy’ariyah. Beliau hanya memaparkan dalam bentuk baru dan cara yang cukup mudah. Keterkenalan Imam Ghazali sebagai tokoh Asy’ariyah juga dikukuhkan lagi dengan kesufiannya. Beliau menjadi penanda aras yang sangat penting menyatunya Sufiyah ke dalam Asy’ariyah.
Akan tetapi tasawuf apakah yang diyakini beliau? Memang agak sulit menentukan tasawuf beliau. Kerana seringnya beliau membantah sesuatu, kemudian beliau jadikan sebagai aqidahnya. Beliau memnolak falsafah dalam kitab Tahafut, tetapi beliau sendiri mempelajari falsafah dan menyetujuinya.
Ketika berbicara dengan Asy’ariyah, beliau seperti seorang Asy’ari tulen. Ketika berbicara tasawuf, beliau seperti menjadi sufi. Menunjukkan seringnya beliau berpindah-pindah dan tidak tetap dengan satu mazhab.
Adapun orang yang menkaji kitab dan karya beliau seperti Misykatul Anwar, Al-Ma’arif Aqliyah, Mizanul Amal, Ma’arijul Quds, Raudhatuthalibin, Al-Maqshad Al-Asna, Jawahirul Qur’an dan Al-Madmun Bihi Ala Ghairi Ahlihi, akan mengetahui bahawa tasawuf beliau berbeza dengan tasawuf orang sebelumnya.
Syeikh Dr. Abdurrahman bin Solih Ali Mahmud menyimpulkan hasil kajiannya dan pendapat para penkaji pemikiran Al-Ghazali, bahawa tasawuf Al-Ghazali bergantung pada falsafah Isyraqi (Madzhab Isyraqi dalam falsafah ialah mazhab yang menyatukan pemikiran dan ajaran dalam agama-agama kuno, Yunani dan Parsi. Termasuk bahagian dari falsafah Yunani dan Neo-Platoisme). Sebenarnya inilah yang dikembangkan beliau akibat pengaruh karya-karya Ibnu Sina dan Ikhwanush Shafa.
Tetapi perlu diketahui, bahawa pada akhir hayatnya, beliau kembali kepada ajaran Ahlusunnah Wal Jama’ah meninggalkan falsafah dan ilmu kalam dengan mepelajari dan mengajar Sahih Bukhari dan Muslim. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, “Penulis Jawahirul Qur’an (karya Al-Ghazali) banyak meneliti perkataan para falsafah dan merujuk kepada mereka, sehingga banyak mencampur pendapatnya dengan perkataan mereka. Beliau pun menolak banyak hal yang bersesuaian dengan mereka. Beliau memastikan, bahawa perkataan falsafah tidak memberikan ilmu dan keyakinan. Demikian juga halnya perkataan ahli kalam. Pada akhirnya beliau menyibukkan diri meneliti Sahih Bukhari dan Muslim hingga wafatnya dalam keadaan demikian.


6.1 PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

Ketokohan dan keagungan Imam Al-Ghazali rahimahullah dengan sikap yang beliau tunjukkan itu adalah sikap agung yang tidak dimiliki dan dilakukan kecuali oleh tokoh-tokoh agung seperti beliau. Hasil karya-karya beliau yang sangat berguna kepada manusia hingga ke hari ini menunjukkan beliau seorang ahli ilmuan yang agung. Falsafahnya amat berguna hingga dikaji dan dijadikan hujah sehingga sekarang.
Semoga beliau dapat kurniaan daripada yang Maha Esa sebagai jasa yang telah beliau curahkan kepada masyarakat seluruh dunia. Maka mari kita mengambil iktibar dan pengajaran serta membuat pedoman dalam kehidupan seharian.

RUJUKAN
Tim Penyusun Ensiklopedi Islam. 1997. Ensiklopedi Islam. Cetakan Ke-4. Hlm 25. Jakarta. Van Hoeve Letiar Baru.
Muhammad Hasan. 2006. Perbandingan Madzhab. Cetakan Ke-4. Hlm 267. Jakarta. PT Raja Granfindo Persada.
Himawijaya. 2004. Mengenal Al-Ghazali Keraguan Adalah Awal Keyakinan. Cektakan Pertama. Hlm 15. Bandung. Mizan Media Utama MMU.
Hudari Bik. Terjemahan Zuhri. 1980. Tarikh Al-Tasri Al-Islam. Hlm 570. Semarang. Darul Ihya.
Imam Al Ghazali. Ihya Ulumuddin. Juz 1. Hlm 7. Beirut. Darul Ma’rifah.
1. Tim Penyusun Ensiklopedi Islam, Ensiklopedi Islam, ( Jakarta : Van Hoeve Letiar Baru, 1997 ), cet. Ke 4, hal. 25

No comments:

Post a Comment