Monday, 9 June 2014

ABIM



ABIM
Pertubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia atau singkatannya, ABIM telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 bertempat di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Antara para pengasas pertubuhan ini adalah Ustaz Abdul Wahab Abdullah Pengerusi Jawatankuasa Penaja dan Fauzi Abdul Rahman selaku Setiausaha. Ketika gerakan mahasiswa Islam mengambil tempat di dalam negara, maka semakin ramai yang menjadi anggota ABIM. Dan pada itulah timbul cadangan untuk menjadikan ABIM sebagai satu pertubuhan rasmi yang boleh dianggotai oleh belia-belia Islam di seluruh negara khususnya para Mahasiswa.
Maka pada 17 Ogos 1972, lahirlah ABIM, sebuah pertubuhan rasmi yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dengan presidennya yang pertama iaitu Prof. Dr. Razali Nawawi. Pada 1974, Anwar Ibrahim telah menjadi Presiden ABIM yang kedua menggantikan Dr Razali Nawawi. Pada ketika ini, ABIM muncul sebagai gerakan belia paling berpengaruh di dalam negara. Tempat Anwar Ibrahim digantikan oleh Dr. Siddiq Fadzil pada 1983 apabila Anwar secara rasmi telah menganggotai UMNO.

Senarai Presiden yang pernah berkhidmat dengan ABIM sepanjang penubuhannya sehingga kini adalah.
1. Dr. Razali Nawawi - dari 1972 hingga 1974
2. Anwar Ibrahim - dari 1974 hingga 1982
3. Dr. Siddiq Fadzil - dari 1983 hingga 1991
4. Dr. Muhammad Nur Manuty - dari 1991 hingga 1997
5. Ahmad Azam Abdul Rahman - dari 1997 hingga 2005
6. Dr. Yusri Mohamad - dari 2005 hingga 2009
7. Dr. Muhammad Razak Idris - dari 2009 hingga 2011
8. Amidi Abd Manan - dari 2005 hingga Sekarang.
Tujuan penubuhan ABIM ialah untuk mendekatkan ahli belia kepada agama Islam, dan apabila sudah jinak mereka terus mendalami ugama Islam bukan sahaja setakat menambah ilmu tetapi juga dengan amalan. ABIM bermatlamat menegakkan yang maaruf dan menentang yang mungkar. Selain itu, ada juga yang menjadi ahli ABIM kerana setelah mereka meninggalkan bangku persekolahan atau universiti mereka memerlukan platform pertubuhan belia yang lain untuk terus bergiat dalam pergerakan belia atau terus duduk dalam barisan kepimpinan Majlis Belia Malaysia. Masing-masing pengasas ABIM mempunyai sebab tersendiri untuk menubuh dan menjadi ahli dan pemimpin ABIM. Walaupun bukan semua pemimpin dan ahli ABIM terdiri dari kalangan ilmuan ugama tetapi boleh dikatakan semuanya, sekurang-kurangnya pada lahir, adalah pencinta agama belaka. Melalui ABIM dan badan-badan belia yang sekutu dengannya anak-anak muda dan pelajar telah terdedah kepada kegiatan dakwah dalam berbagai bentuk dan cara. ABIMlah yang mempopularkan program ‘usrah’ di kalangan pelajar, belia dan masyarakat Islam di Malaysia.
ABIM sentiasa melihat perjuangan untuk merealisasikan Islam sebagai ad-Din sebagai suatu proses perubahan yang sifatnya halus dan bertahap.  Bagi ABIM dakwah tidak berkembang secara mendadak tetapi melalui proses perubahan yang bergantung kepada keberkesanan dakwah itu sendiri.  Secepat mana dakwah berkembang ada kaitannya dengan kualiti pendakwah dan programnya. ABIM menggunakan pendekatan dakwah dan tarbiah.  Dakwah dalam erti kata lain menyampaikan Islam dengan seutuh, selengkap dan setepatnya.  Dakwah sangat luas; seluas ruang lingkup Islam dan seluas kehidupan manusia.  Oleh itu, ada orang yang menuduh ABIM berpolitik apabila ABIM menyentuh isu-isu sosio-ekonomi seperti keadilan, rasuah, kezaliman dan penindasan serta hak asasi manusia.  Dakwah dan gerakan Islam tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain.  Dakwah merupakan segala usaha ke arah menyeru kebaikan dan meninggalkan keburukan.[1]
Antara sumbangan[2] dakwah ABIM adalah peranannya dari segi kepimpinan ilmu bagi merancakkan pertumbuhan wacana bercorak keislaman dalam bidang pemikiran, kebudayaan dan pembangunan negara adalah paling menonjol. Merujuk karya-karya berkenaan Islam di Malaysia dan Asia Tenggara di kebanyakan perpustakaan, nampaknya tumpuan khusus diberikan terhadap peranan dan sumbangan ABIM dalam aspek ini. Dalam kata lain, adalah tidak lengkap sesebuah karya yang membicarakan tentang perkembangan Islam di rantau ini tanpa menyentuh peranan ABIM di Malaysia sejak 4 dekad yang lalu.
Wacana Islam dikembangkan oleh ABIM memilik keunikan dan kelainan berbanding dengan wacana kebiasaan yang berkembang dalam negara pada waktu itu. Wacana Islam yang diterajuinya didapati mengandungi unsur pemodenan dari segi perspektif dan amalan. Misalnya, salah satu isu dalam wacana Islam yang dibicangkan organisasi ialah tentang maksud ‘pembangunan’ dilihat harus menjadikan agama sebagai sumber sandaran dan rujukan dalam agenda pembangunan negara. Penonjolan isu ini merupakan satu bentuk perbahasan yang terlalu baru dalam konteks diskusi dakwah pada ketika itu yang dikatakan lebih didominasi tentang persoalan berkaitan hukum hakam ibadat.
Di samping isu pembangunan, wacana dakwah ABIM juga menimbulkan minat masyarakat yang tinggi  terhadap pendidikan Islam. Berasaskan kerangka pemikiran reformisme Islam yang menjadi identiti khusus pergerakannya, ABIM menganjurkan masyarakat dan negara agar kembali berpaut kepada sistem pendidikan yang berteraskan prinsip Tauhid dari segi kurikulum dan pengamalannya. Dalam kerangka ini, peranan pendidikan tidak dilihat sekadar agen bagi melahirkan tenaga kerja untuk pembangunan, tetapi membina generasi pembina tamadun manusia terbaik atau khayra ummah.  Wacana tentang pemikiran pendidikan Islam berkembang pesat sehingga sekarang. Malah banyak model pendidikan Islam telah dibangunkan dari peringkat awal hingga ke universiti di negara kita kini kesan dari himbauan terhadap wacana ini. 
ABIM juga menubuhkan institusinya sendiri. Berasaskan rekod mutakhir, ia kini memiliki dan menguruskan 16 buah sekolah di peringkat rendah dan menengah dengan jumlah guru seramai 370 orang dan pelajarseramai 5740 orang. Bagi program pendidikan awal kanak-kanak, Abim mengendalikan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI). Kini terdapat sebanyak 273 buah TASKI di seluruh negara dengan jumlah guru seramai lebih 605 orang dan pelajar seramai 11,425 orang.
Sumbangan dakwah ABIM kini menjadi antara bahan kajian. Ia telah menerbitkan lebih 60 judul bukul ilmiah. Dalam rekod perpustakaan di Universiti Malaya sahaja, terdapat sebanyak 33 buah tesis berkenaan ABIM telah ditulis oleh para pengkaji di peringkat prasiwazah, sarjana dan PhD. Sumbangan dakwah ini amat besar dan perlu dihargai oleh semua.
“ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana (moderate) berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.”[3]


[1] Rosmiyati Billak, Peranan ABIM dalam Penyebaran Dakwah di Johor.
[2] Muhamad Razak Idris. Berita Harian. 5 Oktober 2012
[3] Termaktub dalam perlembagaan ABIM dalam Bab 1 Perkara 1.3

1 comment:

  1. Salam perkenalan..baru perasan blog ni.. dan ada nama dan tajuk tesis sy diatas.. terima kasih kerana membacanya..

    ReplyDelete